MENU
Utama
Kitchen Garden
Laman Herba
Laman Bunga
Pagar Laman
Petua Botani
Webmaster
 
Kesum (Polyganum minus huds)

Pokok kesum adalah sejenis herba biasa yang mudah tumbuh dan hidup subur di kawasan tanah lembap. Batangnya kecil dan menegak dan adaklanya tumbuh menjalar. Herba renek ini boleh dibiakkan dengan keratan batang.

Daun kesum memiliki aroma yang menarik dan unik. Ia sering digunakan sebagai perencah dalam masakan asam laksa dan ulam kerabu.

Menurut amalan tradisional, daun kesum yang dilumatkan dan dilumur pada kulit kepala boleh mengurangkan masalah kelemumur. Selain daripada itu, ia juga baik untuk membantu sistem penghadaman. Bagi kaum wanita yang baru melahirkan anak, daun kesum dipupur pada perut untuk menghilangkan sakit perut disebabkan makanan tidak hadam.

   
Cili Merah (Capsium annuum)

Cili merah merupakan sejenis cili berisi tebal berwarna merah atau hijau dan mengeluarkan hasil sepanjang tahun. Ia mengeluarkan bunga kecil yang bertukar menjadi buah pada setiap ranting daun.

Cili merah kaya dengan vitamin C, vitamin A dan zat-zat galian seperti besi, kalsium, fosforus, sodium dan potasium. Sayuran ini dikatakan bernilai dari segi kesihatan untuk meredakan kesakitan yang ada kaitan dengan kegemukkan. Ia juga baik untuk pengedaran darah dan boleh mengatasi masalah sakit kerongkong. Cili merah mengandungi sejenis bahan yang menghalang sel-sel darah daripada bergumpal dan sekaligus menghalang sejenis penyakit darah beku yang dikenali sebagai trombosis

   

Tomato (Lycopersicon esculentum)

Tomato merupakan sejenis sayuran yang digemari ramai. Ia lazat dimakan mentah atau dimasak dalam pelbagai jenis hidangan. Ia kaya dengan zat galian, serat serta vitamin A dan C yang diperlukan untuk mengekalkan kecergasan. Ia juga baik untuk melicinkan kulit dan merupakan salah satu bahan awet muda yang penting. Satu kajian terbaru di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa pigmen merah yang terdapat pada kulit tomato mengandungi sejenis bahan yang dikenali sebagai lycopene yang boleh mengurangkan risiko dikalangan kaum lelaki daripada mendapat penyakit barah prostat. Kajian itu juga menyatakan bahawa dengan memakan 10 biji seminggu dapat mengurangkan risiko penyakit itu sehingga 45 peratus.

 

   

Kucai (Allium tuberosum)

Kucai sejenis sayuran yang menyerupai pokok bawang berasal dari keluarga lili. Tumbuhan ini tengik baunya tetapi enak dimakan sama ada sebagai sayur atau ulam. Kucai mengandungi vitamin B dan C, karotin dan komponen belerang. Ia bernilai tinggi dalam dunia perubatan tradisional, khususnya untuk mengubati senggugut, penyakit keputihan, darah tinggi dan sembelit. Kucai juga bertindak sebagai antiseptik untuk membunuh kuman bakteria dalam usus dan menjadi perangsang dalam proses pengecutan dan pengembangan usus. Ia juga melancarkan pengaliran darah, sekali gus menghindarkan pembekuan darah. Caranya sama ada dimakan sebagai sayur atau daunnya ditumbuk hingga lumat dan dikacau dengan air panas lalu diminum. Cara ini amat berkesan untuk menurunkan tekanan darah tinggi, penyakit keputihan serta senggugut.

   

Pudina (Mentha)

Pudina merupakan sejenis herba yang berasal dari keluarga Labiatae. Tumbuhan ini mempunyai batang yang bersegi dan dedaun yang harum baunya manakala sesetengahnya mengeluarkan bunga-bunga kecil berwarna ungu muda atau merah jambu. Terdapat berbagai-bagai jenis pudina di seluruh dunia, antaranya Mentha spicata " moroc-can" yang berkesan dalam meredakan kekejangan otot, Mentha xsmithiana "rubra" yang digunakan dalam manisan dan minuman, Mentha aquatica untuk merawat cirit birit, Mentha arvensis, sejenis pudina Jepun yang boleh melegakan selesema dan menghilangkan rasa loya dan Mentha x piperita "crispa" yang boleh menjauhkan tikus.

Kesemua jenis pudina ini juga boleh bertindak sebagai perangsang dan membantu penghadaman serta mengurangkan flatulens. Ia juga bersifat sebagai antiseptik, antiparasit dan anti virus. Pemakanannya boleh meransangkan tubuh badan mengeluarkan peluh. Daun pudina juga digunakan untuk membuat ubat sapu untuk merawat selesema, sakit kepala, kekejangan otot dan sakit-sakit badan manakala minyak yang diperbuat daripada daun pudina boleh menghilangkan rasa loya serta kejutan dan mempertingkatkan konsentrasi.

   

Ulam Raja (Cosmos caudatus kunthi)

Ulam Raja sering dikaitkan sebagai pembuka selera. Namun begitu, ia bukan sahaja ualam yang enak tetapi juga memiliki ciri-ciri herba yang berkhasiat. Ia tumbuh menegak dan mempunyai banyak cabang. Bunganya yang cantik sering dijadikan jambangan indah di perkarangan rumah. Pokok ini mudah hidup di kawasan lapang dan terbiar.

Ulam raja dipercayai mampu membersihkan darah dan menguatkan tulang. Ini kerana ia mengandungi kalsium dan vitamin A yang tinggi. Selain daripada itu, ia juga boleh membantu menambah kandungan oksigen dalam darah. Pucuk Ulam Raja mempu memberi kesihatan, kesegaran malah menegangkan kulit. Justeru ia popular sebagai ulam awat muda.

   

Ketumbar (Coriandrum sativum L.)

Ketumbar amat terkenal sebagai tumbuhan aromatik yang sering dijadikan perencah pada masakan. Harumannya yang unik juga boleh diadun untuk dijadikan pewangi. Pokok ketumbar mudah tumbuh apabila ditanam di kawasan tanah rendah.

Aromanya yang unik mampu memberi kelegaan kepada wanita mengandung yang mual atau mereka yang mabuk perjalanan. Biji ketumbar dikatakan baik untuk menghentikan perjalanan darah haid yang berterusan serta memulihkan penyakit kuning. Caranya ialah merebus biji ketumbar dan minum airnya. Bagi menambah selera makan pula, satu sudu teh biji ketumbar direbus bersama satu sudu serbuk kayu manis dan airnya diminum.

   

Kantan (Pheeomeria imperialis)

Pokok herba ini tumbuh dalam satu rumpun. Pokoknya besar, berbatang lembut dan boleh mencapai ketinggian 4.5 meter. Bunga kantan berbentuk bujur dan berbau wangi.

Bunga kantan yang rasanya masam sering dijadikan ulam dalam masakan asam laksa dan ulam kerabu. Bunga kantan ini boleh dijadikan ubat awet muda jika diamalkan secara mentah. Selain itu ia juga baik untuk mengubati penyakit kencing manis dan darah tinggi. Ia juga boleh menghilangkan rasa lesu dan meningkatkan selera makan. Mandi dengan rebuasan batang pokok kantan boleh menghilangkan bau badan.

   

Lengkuas (Alpina galanga)

Pokok herba ini juga tumbuh dalam satu rumpun, bersaiz besar dan tinggi. Lengkuas membiak melalui rizomnya yang besar, keras, berwarna kuning putih dan sedikit kemerahan. ia digunakan secara meluas sebagai resipi menambah perisa makanan.

Rizomnya mampu mengubati penyakit berkaitan dengan penghadaman, cirit birit,  sejuk dalam badan, panau dan kuram. Daun lengkuas apabila direbus bersama daun kunyit, serai wangi dan jerangau boleh menghilangkan sakit-sakit sendi dan menguatkan saraf.

   

Cekur (Kaempferia galanga L.)

Cekur adalah daripada keluarga herba yang berasal daripada spesies Kaemferia galanga. Ia mengeluarkan enam hingga 12 helai daun yang tumbuh secara berkelompok dan berbau harum. Tumbuhan ini juga berbunga putih dan ungu muda. Daunnya enak dimakan sebagai ulam yang menyegarkan. Ia juga kerap digunakan sebagai sayur atau sebagai ramuan dalam masakan kari di rantau Asia Tenggara.

Di Thailand, akar cekur dicampur dengan wiski untuk mengubat sakit kepala. Di Indonesia, cekur digunakan sebagai penawar untuk kes keracunan makanan, tetanus atau terkancing gigi, ulser mulut, barah, batuk dan selesema. Cekur juga boleh digunakan untuk mengeluarkan angin dari badan wanita yang sedang dalam pantang dengan cara melumurkan cekur yang telah dilumatkan pada perut sebelum memakai bengkung.

    Kesum   Cili Merah     Tomato    Kucai    Pudina    Ulam Raja    Ketumbar    Kantan    Lengkuas        Cekur       

 

Kitchen Garden

Text Box: Text Box:

PAUTAN

Kem. Pertanian Malaysia
Jab. Perhutanan Semenanjung Malaysia
Taman Pertanian Universiti (UPM)
Malaysia Herbal Corporation
MARDI
Chemical Engineering Pilot Plant
Rimbun Dahan
 

AKHBAR

Utusan Malaysia
Berita Harian
Metro
Kosmo
NSTP
The Star